PROFESIONALISME PERGURUAN

Isu pertama adalah berkenaan penyalahgunaan masa. Di Malaysia, waktu bagi satu sesi persekolahan yang umum adalah dari pukul 7.30 pagi hingga 1.15, iaitu lebih kurang enam jam tidak termasuk aktiviti kokurikulum pada sebelah petang. Sepanjang tempoh ini, murid – murid dan guru terlibat secara langsung dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Walau bagaimanapun, sejak kebelakangan ini timbul isu penyalahgunaan masa di kalangan guru di sekolah. Memang benar isu penyalahgunaan ini jarang tersiar di media massa kerana ianya lebih menjurus kepada hal ehwal dalaman sekolah, tetapi adalah penting bagi kita untuk membendung isu ini daripada terus menular. Antara contoh penyalahgunaan masa di sekolah adalah guru tidak menepati masa memasuki kelas, guru tidak menyampaikan isi pengajaran dengan bersungguh-sungguh, guru mengajar tidak mengikut sukatan pelajaran yang telah ditetapkan oleh kementerian, guru tidak menepati masa keluar daripada kelas, guru menggunakan masa di sekolah dengan melakukan kerja yang tidak berkaitan dengan pendidikan misalnya melayari facebook, ber’chatting’, bergosip, melepak di kantin, guru melakukan kerja sambilan di malam hari (misalnya mengajar tuisyen, berniaga di pasar malam) hingga menjejaskan produktivitinya dalam menyampaikan P&P di siang hari dan banyak lagi. Sehingga hari ini, isu membabitkan guru dan profesionalisme keguruan terus mendapat perhatian dan sering dibahaskan secara meluas sama ada di media massa, dalam kalangan masyarakat umum malah dibincangkan sehingga peringkat nasional dan universal. Saban hari dan waktu, pihak media massa secara berterusan menyediakan laporan yang sesetengahnya berbaur sentimen mempersendakan guru dan profesionalisme keguruan. Walaupun laporan dan gambaran yang diberikan tidak menyeluruh, namun tindakan ini berjaya memetakan suatu prejudis masyarakat umum terhadap guru dan profesionalisme keguruan. Lantas, fenomena ini turut melakarkan rasa kekecewaan, gangguan mental dan emosi guru, sementelahan bila berhadapan dengan bebanan tugas yang semakin bertambah. Senario ini semakin serius apabila terdapat guru novis yang berkhidmat kurang daripada 10 tahun mulai berasa bosan dan tidak mahu lagi bertugas sebagai guru (Chester, 1997; Keller, 2000; Sandham, 2001). Mutakhir ini, wujud kegemaran guru menjalankan tugas berkepentingan peribadi semasa waktu persekolahan sehingga boleh menjejaskan profesionalisme keguruan (Mohd Yusof, 2002; BPG, 1998; BPPDP, 1998). Dalam masa yang sama, terdapat sejumlah 98% responden guru sekitar Lembah Kelang berhasrat memilih untuk bersara awal, manakala seramai 1,045 orang guru telah menceburi sektor swasta kerana menjangkakan prospek yang menarik bakal diperoleh daripada terus kekal dalam skim perguruan yang dikatakan jumud di negara ini (Nor Azlina, 2005). Anggapan tugas mengajar mudah dan remeh, tidak bersemangat, sentiasa murung dan bersikap acuh tidak acuh semakin meningkat di kalangan guru sejak akhir-akhir ini (Mohd Yusof, 2002). Guru bermasalah dapat diklasifikasikan kepada tiga jenis iaitu bersikap negatif, sakit mental dan sakit fizikal. Sikap seperti malas, degil, berpakaian tidak kemas, melawan pentadbir, ponteng sekolah dan kelas, tidak berminat untuk mengajar, tidak menyediakan rancangan pengajaran, keluar waktu persekolahan atas urusan peribadi, sering mengambil cuti sakit sudah tentu memberikan kesan yang serius terhadap minat dan prestasi pembelajaran pelajar mereka. Dapatan kajian Jamil (2002), menerusi sesi temu bual terhadap guru terlatih di Terengganu menjelaskan guru mulai bosan, tidak lagi berminat menjadi guru, tidak berpuas hati dengan sistem yang diamalkan, mendapati ketidakadilan dalam pengurusan sekolah, berasa tidak mendapat apa-apa dengan jawatan yang di sandang setelah berkhidmat selama 20 tahun dan lebih. Masyarakat umum mulai mempersoalkan kewibawaan guru dan profesionalisme keguruan, walaupun mereka sebenarnya terlatih dan mempunyai kepakaran dalam bidang pengkhususan masing-masing, mampu menjadi pemimpin dan pengurus pendidikan (JNSP, 2000). Laporan JNSP (2000) menjelaskan seolah-olah guru terkeliru untuk memahami situasi sebenar budaya dan iklim sesebuah sekolah, bersifat fanatik terhadap fahaman politik, gagal memahami kehendak pihak pengurusan sekolah dan pelbagai fenomena lain yang menyebabkan masalah ini wujud. Dapatan kajian JNSP (2000), melabelkan guru bersikap presentism dalam tugas seharian, bersikap defensif terhadap pembaharuan, gemar situasi kerja familiar dan menolak corak kerja penuh persaingan seperti dunia korporat yang sentiasa inginkan pembaharuan. Mekanisme Early Warning System (EWS) yang digunakan bagi mengesan guru yang tidak efisien menjadi disfungsi sehinggakan guru yang mencemari profesion dan tidak efisien terlepas tanpa sebarang tindakan. Guru perlu mempunyai tatasusila yang tinggi dan berkomitmen menjalankan tugas sebagai pendidik dengan baik. Menurut Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan, Datuk Mahadzir Mohd. Khir memberitahu bahawa daripada tahun 1995 hingga tahun 2008, sebanyak 41 kes keruntuhan moral membabitkan guru dilaporkan (Utusan Malaysia, 18 September 2008). Antara kes keruntuhan moral disebutkan beliau adalah perbuatan sumbang mahram dan bersekedudukan. Media juga turut melaporkan kes-kes lain seperti guru memukul murid, guru besar menyembunyikan kes-kes disiplin, guru menyebarkan ajaran anti kerajaan dan sebagainya yang telah menarik perhatian umum serta menguji kredibiliti profesion perguruan. Pendedahan-pendedahan salah laku guru-guru boleh mengakibatkan kewibawaan profesion keguruan tergugat pada mata umum. Hal ini bertentangan dengan peranan dan tatasusila perguruan di Malaysia yang menyatakan guru perlu mematuhi kod etika perguruan iaitu menjalankan tanggungjawabnya guru kepada pelajar, ibu bapa pelajar, rakan sejawat dan masyarakat dan Negara, bukannya mengambil kesempatan di atas apa yang berlaku terhadap pelajar tetapi sebaliknya membantu mereka menyelesaikan masalah yang dihadapi. Begitu juga dengan guru yang menyebarkan ajaran anti kerajaan di mana bertentangan dengan tanggungjawab guru terhadap masyarakat dan Negara yang sepatutnya tidak menyebarkan sesuatu ajaran yang boleh merosakkan kepentingan pelajar, masyarakat atau Negara (Utusan Malaysia, 18 September 2008) Di Samping itu, bebanan tugas yang berat yang terpaksa dipikul oleh guru-guru juga telah menyebabkan mereka tidak menyempurnakan tugas mereka dengan baik dan seterusnya ditegur atau dimarahi oleh majikan boleh menyebabkan seseorang itu mengalami “stress”.Ketegangan yang berpanjangan boleh mempengaruhi psikologi seseorang seperti hilang keyakinan, cepat meradang, agresif dan hilang daya konsentrasi.Ini menyebabkan seseorang guru itu kurang bersemangat dan tidak bermotivasi di dalam menjalankan tugasnya (Abdul Malik, 2000).Ini turut diakui oleh Zubaidah Aman (1999) yang mendapati bebanan waktu mengajar, jumlah mata pelajaran dan bebanan tugas di sekolah mempengaruhi keletihan emosi guru. Isu Penilaian dalam Pendidikan yang tidak adil dan sambil lewa juga merupakan salah satu isu yang boleh meruntuh kredibiliti guru yang dianggap oleh masyarakat umum sebagai pekerjaan yang profesional. Selain itu sikap profesionalisme yang diterapkan dalam diri guru selama ini tercalar dek sikap guru itu sendiri yang tidak serius dalam menilai pendidikan generasi muda yang boleh menggelapkan masa depan mereka. Walaupun isu ini agak terpencil tetapi ia memberi kesan yang besar kepada imej seorang guru sebagai pekerjaan yang mulia. Namun, berlaku juga gejala yang tidak sihatapabila penempatan guru tidak mengikut opsyen dan keperluan sekolah. Siva Subramaniam (1995) dalam kertas kerjanya bertajuk “Mempertingkatkan Martabat Profesion Keguruan” menyatakan, dalam sesi penempatan dan pertukaran guru, terdapat kes-kes opsyen guru tidak diambil kira. Ini mengakibatkan guru mengajar mata pelajaran yang di luar bidang pengkhususannya. Amalan ini juga adalah pembaziran tenaga yang akan merugikan guru dan pelajar dan menimbulkan tekanan kepada guru. Persepsi status amat penting dalam menentukan tahap keprofesionalan. Sungguhpun demikian, status ini seringkali menimbulkan rasa ketidakpuasan hati di kalangan guru. Sebagai contoh, apabila timbul situasi kekurangan guru dalam sesebuah sekolah, guru yang tiada pengkhususan sesuatu mata pelajaran diminta mengajar mata pelajaran tersebut (Rahmad & Norani, 1995). Fenomena ini dibuktikan melalui kajian Norani, Wan Hasmah, Chang Lee Jon dalam “Profesionalisme Guru Baru di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak 1991 – 1995. Guru diarah untuk mengajar mata pelajaran bukan opsyen mereka dengan alasan tiada guru. Ini menyebabkan status seseorang guru menjadi tercemar kerana mengajar tanpa pengetahuan dan kemahiran yang tinggi. Selain itu, terdapat satu lagi isu yang menggugat kredibiliti guru iaitu keadilan dalam penyampaian ilmiah kepada anak didik mereka. Adalah tidak wajar seseorang guru melakukan tindakan yang sedemikian terhadap pelajar-pelajar. Ini seperti menidakkan hak asasi golongan muda untuk menuntut ilmu. Apabila ketidakadilan ini berlaku adakah wajar seseorang itu digelar sebagai pendidik yang selama ini dianggap sebagai lilin yang membakar diri sendiri untuk menerangi daripada kegelapan. Isu ini agak berat kerana tugasan utama seorang guru adalah menyampaikan ilmu pengetahuan kepada setiap pelajar tanpa mengira bangsa, pangkat, sosioekonomi dan sebagainya. Jadi adalah tidak wajar seorang guru itu melakukan perkara tersebut terhadap para pelajar.

1 comments:

God Help Us said...

Perbincangan menjurus kepada isu keguruan yang menjadi gap kepada permasalahan. Gap yang ditimbulkan luas dan perlu diberikan pengkajian yang lebih teliti bagi membantu peningkatan dalam pendidikan negara. Persoalannya mengapa isu guru ini berlaku? Punca dan penyebab yang menyebabkan kejadian ini berlaku? KPM haruslah meneliti dalam semua aspek perkara yang dibangkitkan dan perlu mencari jalan penyelesaian. Permudahkan semua urusan guru dalam semua sudut bagi menjayakan peningkatan profesionalisme guru dapat terus terserlah dan dapat mambantu negara secara menyeluruh dalam sumbangan ekonomi dan kemajuan negara.

Post a Comment